Subuh.
Encik Jo terjaga. Bunyi motor kapcai itu mengejutkan dia dari tidur. Sama seperti semalam. Seperti juga kelmarin dan hari-hari sebelumnya. Mungkin budak kilang hendak pergi kerja mencari rezeki. Atau Fatin yang di hantar pulang oleh bakal suaminya setelah puas berlumba haram. Tapi mungkin juga Lebai Bob yang baru hendak ke surau melaungkan azan subuh. Encik Jo tidak ambil tahu semua itu. Yang pasti dia sudah terjaga. Terkebil-kebil dalam samar-samar cahaya subuh. Dia pasti kalau pun dia tidur semula, sekejap lagi dia akan dikejutkan pula oleh laungan azan oleh Lebai Bob. Suara lebai separuh abad itu sudah semakin sebati dalam dirinya.
Dulu sebelum berpindah ke kawasan ini, suara azan tidak pernah mengganggu tidur paginya. Suara Lebai Bob pun tidak pernah didegarinya. Tidurnya tidak pernah terganggu dengan lolongan motor kapcai dan laungan Lebai Bob. Dia boleh lena sampai matahari naik. Tapi sekarang sejak di sini, dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini. Tidak mungkin budak kilang berhenti kerja dan Lebai Bob tidak melaungkan azan lagi hanya kerana dia terjaga dari tidur. Tidak mungkin. Dia yang kena berubah dan menerima budaya baru ini.
Lebai Bob selesai melaungkan azan. Encik Jo mengosok-gosok matanya. Ekornya digoyang-goyang sedikit. Badannya dierotkan dan dia tidur semula di kaki lima surau itu.
No comments:
Post a Comment