Monday, March 9, 2009

Nancy France

Je suis arrivce a Nancy ce matin.

Rasanya sudah tiga tahun saya tidak ke Peranchis. Tiga tahun dulu kami sekeluarga ke La Rochelle dan Paris. Anak-anak masih ingat saat-saat mereka menaiki bot di La Rochelle, berjalan-jalan di sekitar Champs Elysee dan tentunya lawatan ke Disneyland. Setiap kali gambar Eiffel Tower ditayangkan di kaca television, Mira akan terus menjerit "Paris !". Mungkin menara itu sahaja yang dia masih ingat tentang Paris.

Peranchis bukanlah asing kepada saya. Masih terasa keseronokan kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini 23 tahun yang lalu. Masih bagai terasa pengalaman kali pertama merasa angin sejuk di Paris, membelah kepekatan malam di atas Bateaux Mouche sambil bergelak ketawa dengan rakan-rakan lain. Tiga hari pertama di Peranchis dihabiskan dengan lawatan di sekitar kotaraya Paris sebelum kami berpisah ke universiti masing-masing. Saya dan beberapa rakan dihantar ke Montpellier, sebuah bandar di selatan Peranchis.

Saya masih ingat kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan budaya di sini. Peranchis tidak lah seperti yang saya gambarkan sepanjang menjalani kursus persediaan sebelum dihantar melanjutkan pengajian ke sini. Kami sampai dalam bulan Ogos kalau saya tidak silap. Kemudian baru saya sedar kawasan sekitar universiti tidak ceria sepanjang bulan Ogos kerana kebanyakkan orang Peranchis bercuti sepanjang bulan tersebut.

Pun begitu biarpun diluar masa cuti musim panas, semua kemeriahan dan keceriaan bandar-bandar seperti yang dirasakan di tanah air tidak saya rasakan kali pertama menjejakkaki di sini. Kedai-kedai tutup seawal jam 7 malam. Perkhidmatan bas juga tamat sekitar masa itu. Saya masih ingat kami sampai di Montpellier pada hari Ahad. Semua kedai tutup ! Sebenarnya yang paling kami takut ialah bagaimana untuk berinteraksi dengan orang-orang di sini untuk membeli barang-barang keperluan asas. Tetapi yang terpaksa dihadapi ialah bagaimana mendapatkan bahan-bahan asas itu dari kedai-kedai yang ditutup. Akhirnya kami jumpa sebuah kedai yang dibuka. Itulah kali pertama saya belajar untuk menelitu kandungan sesuatu makanan sebelum dibeli. Umi dan Haniza dua rakan saya di Montpellier menjadi rujukan kami untuk memastikan kandungan makanan yang di beli halal dimakan. Sampai hari ini setiap kali saya beli makanan berbungkus, perkara pertama yang saya perhatikan ialah kandungan nya! Cuma sekarang kena buat sendiri, tidak boleh rujuk kepada kepakaran Umi dan Haniza lagi. Haniza sekarang seorang Doktor perubatan. Saya tidak tahu di mana Umi berada.

Hari ini, 23 tahun selepas itu, semua pengalaman itu menjadikan kami mahir dengan selok belok kehidupan di sini. Saya meninggalkan Montpellier 6 tahun selepas itu. Rasa sedih dan gembira bercampur baur. Sedih meninggalkan Montpellier dan gembira dapat pulang semula ke pangkuan keluarga. Saya tidak sangka dapat kesempatan untuk kembali semula ke Peranchis selepas itu, tapi itulah yang berlaku. Sejak meninggalkan Montpellier, saya sering mendapat peluang menjalankan tugas di Peranchis. Hasil pahit maung hidup merantau di Peranchis saya gunakan untuk menbangunkan projek-projek kerjasama antara syarikat tempat saya bekerja dengan syarikat-syarikat di Peranchis. Sepanjang minggu ini pun mungkin ada projek baru yang boleh dibangunkan hasil dari beberapa mesyuarat yang dirancang sepanjang saya di Nancy.

No comments:

Post a Comment